Thursday, August 26, 2010

Separuh Masa

Final Match of Ramadhan League : 2nd Half prediction

Salam para penonton sekalian,

Tepat jam 12 malam 16 Ramadhan #1431, bilal meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara juara Ramadhan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan Penganalisa bola sepak tanah air (ustaz ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam separuh masa pertama perlawanan di konti konti masjid berdekatan.

Untuk makluman saudara sekalian,

Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Umpat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan Nafsu City sukar dikekang barisan pemain muda Taqwa United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi Roque Shahwat Cruz, Carlos Umpat, Dengki-Ho dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadhan musim lalu dengan 30 gol setiap hari) Penganalisa berpendapat, jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar besaran bukan saja dari sudut taktik malahan pemain. pemain pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido Selalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros dan Stephen IkutNafsu terutama ketika waktu berbuka dan membeli belah di separuh masa pertama.

Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui oleh Tahjud-Din dan Munajat Malam perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar kacirkan kubu pertahanan lawan yang tidak dikawal ketat oleh Jolelon Lagho dan Kalo TidoLajak. tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselumuti kedua dua tembok besar pasukan Nafsu City itu untuk menjaringkan gol gol yang diperlukan.

Namun, penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa united mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. dengan ketiadaan jurulatih City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih mampu dan berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aildilfitri.

Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. selain itu, mereka juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka menjadi juara.

Oh! Kelihatan penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing masing. penyokong kedua dua pasukan bersorak bersungguh sungguh demi membangkitkan semangat team masing masing. team sorak Nafsu City dengan pakaian menjolok mata dan team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.

Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini? Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kewangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.

Sama sama kita saksikan kesudahan perlawanan akhir ini.

Sekian dari saya, Hisbullah Awang untuk anda yang masih termenung di luar sana.

---

Spread the love. I got it from her school. Satu Hamba Allah kept passing a piece of paper to one another in surau. I wrote it down and I think it's never too late to share it with the whole wide world. ;)

1 comment: